KER1M sumbang kerusi roda kepada IPD Shah Alam

  2017-11-29

 


KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat menerima buku buletin serta sumbangan kerusi roda daripada Pegawai Perhubungan Awam KER1M, Nur Shaqhiroh Mohd. Hussin (dua kanan) di sempena Perhimpunan Bulanan IPD Shah Alam hari ini. - UTUSAN/Shaharani Saibi.


SHAH ALAM 29 Nov. - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima tiga unit kerusi roda hasil sumbangan daripada Persatuan Kesejahteraan Rakyat 1Malaysia (KER1M).

Sumbangan itu merupakan antara inisiatif persatuan berkenaan di bawah pelaksaanan Program Bantuan Kerusi roda 1Malaysia (BKR1M) yang bertujuan membantu mempermudahkan orang ramai berurusan di IPD berkenaan terutamanya membabitkan orang kurang upaya (OKU), warga emas, mangsa kemalangan dan sebagainya.

Kesemua unit kerusi roda itu diserahkan oleh Pegawai Perhubungan Awam KER1M, Nur Shaqhiroh Mohd. Hussin kepada Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat sempena Perhimpunan Bulanan IPD Shah Alam, di sini hari ini.

Sementara itu, Shafien ketika ditemui selepas majlis itu menyifatkan sumbangan daripada KER1M itu adalah satu pendekatan yang positif sekaligus menunjukkan kebersamaan badan bukan kerajaan (NGO) itu dalam usaha meningkatkan sistem perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Dengan adanya sumbangan kerusi roda ini, saya yakin ia dapat dimanfaatkan oleh rakyat yang memerlukan semasa mereka datang berurusan di IPD ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Dalam pada itu, Nur Shaqhiroh ketika ketika ditemui menyatakan selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihaknya turut menyalurkan sumbangan yang sama kepada hospital-hospital kerajaan termasuklah secara terus para pesakit serta OKU dari golongan miskin dan kurang berkemampuan. - UTUSAN ONLINE