KER1M Nyatakan Sokongan Pada Najib

  2015-04-17

 

KUALA LUMPUR, 17 April - Selepas beberapa hari kemelut antara dua nama besar dalam politik negara ini tercetus, banyak pihak telah bangkit menyatakan sokongan masing-masing bagi membela tokoh pilihan mereka.

Hari ini, Persatuan Kesejahteraan Rakyat 1Malaysia (KER1M) menyatakan pendirian menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus menerajui kepimpinan negara.

Menerusi satu kenyataan pengerusinya, Datuk Ranjith Raja menegaskan, Najib harus diberi ruang untuk meneruskan tugasnya dalam memastikan negara ini terus menjadi sebuah negara yang berdaya saing.

Menurutnya, pelbagai inisiatif telah diambil oleh orang nombor satu negara itu yang mencetuskan ilham untuk mewujudkan gagasan 1Malaysia dan banyak lagi program transformasi kerajaan serta pembangunan ekonomi yang hendak dilaksanakannya.

"Najib telah memimpin negara ini dengan memberi banyak kebaikan kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa."

"Malah, konsep 1Malaysia yang diilhamkannya juga secara keseluruhan telah menyatupadukan rakyat di negara ini seiring dengan keberkesanan penekanan pelaksanaannya di peringkat nasional," katanya.

Ranjith menambah, sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), KER1M menyokong penuh apa saja langkah dilakukan Perdana Menteri yang boleh disifatkan sebagai usaha yang berjaya.

Katanya, sokongan rakyat di negara ini serta keseluruhan ahli KER1M dalam setiap aktiviti yang dirangka telah turut menjayakan Gagasan 1Malaysia yang dibawakan oleh Perdana Menteri.

"Kami akan meneruskan tanpa jemu untuk membangunkan lagi Gagasan 1Malaysia melalui pelbagai program kemasyarakatan agar perpaduan yang lebih jitu dalam kalangan rakyat dapat diterapkan," ujarnya.

Sejak akhir-akhir ini, negara telah digemparkan dengan kemelut antara Datuk Seri Najib dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkara itu terjadi apabila, Tun Mahathir membangkitkan beberapa isu terhadap pentadbiran Najib antaranya berkaitan 1MDB, jambatan bengkok dan beberapa perkara lain.

Keadaan yang berlaku telah menyebabkan banyak pihak bangkit terutama jentera UMNO yang menyokong Najib dan mahu beliau terus menerajui pimpinan negara.